SHAH ALAM: Datuk Seri Jamal Yunos hari ini berjalan ke bangunan setiausaha kerajaan Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan bekalan air besar-besaran di sekitar Lembah Klang mulai semalam, susulan penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong.
“Tiada air di rumah saya di Ampang selama 4 hari. Saya tidak mandi selama 2 hari, bos,” katanya merujuk pengawal keselamatan yang menutup pintu pagar utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah setibanya Jamal dalam tuala, hari ini.
“Saya mahu periksa sama ada pejabat menteri besar ada air. Buka pintu, saya nak mandi. Buka pintu,” kata ketua gerakan Baju Merah itu dalam aksi terbaharu beliau.
“Jika tidak ada air (di rumah saya) esok, saya akan datang balik. Saya akan bayar 20 sen untuk mandi. Kenapa takut nak buka pintu? Saya tak bawa sebarang senjata atau bom. Saya takkan ganggu sesiapa pun.
“Jangan beritahu saya awak (pengawal keselamatan) perlu tanya MB untuk bagi saya mandi.”
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, tindakannya tiada kaitan dengan politik, sebaliknya beliau sekadar mahu memastikan penduduk Selangor mendapat bekalan air.
Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah surau di Ampang pagi tadi juga mendapati tiada bekalan air di sana dan beliau menyalahkan kerajaan negeri terhadap gangguan bekalan air besar-besarannya.
Beliau mendakwa kerajaan negeri Selangor pimpinan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya mementingkan politik, bukannya keperluan rakyat termasuk isu gangguan bekalan air.
“MB sibuk beri ceramah sehingga 3 pagi dan tidak peduli tentang keperluan rakyat,” katanya yang mempersoalkan Azmin jika beliau tahu masyarakat Cina meraikan perayaan Winter Solstice hari ini.
“Macam mana mereka nak sambut perayaan itu?”
Kelmarin, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mahu TNB bertanggungjawab kerana mengambil “keputusan salah dan tidak bertimbang rasa” dengan menjalankan kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Bukit Badong, Kuala Selangor.
Kerja penyelenggaraan itu menyebabkan loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan elektrik yang membawa kepada pemotongan bekalan air besar-besaran selama 6 hari, mulai semalam sehingga Sabtu ini.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata, gangguan bekalan air di kawasan Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.
Jamal berkata, kerajaan negeri Selangor sepatutnya bertanggungjawab terhadap gangguan bekalan air membabitkan 3.9 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang kerana membenarkan kerja penyelenggaraan itu dijalankan pada waktu kritikal.