
Beliau mengulas dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang semalam berkata BR1M adalah satu bentuk rasuah.
Oleh itu, menerimanya dikira sebagai “haram”, kata Dr Mahathir, dakwaan yang menurut Khairy sebagai “tidak masuk akal”.
“Ini sangat mengarut. Pemberian wang tunai diterima sebagai program ekonomi di seluruh dunia. Namun masih ada yang mempercayai cakap kosong beliau (Mahathir).
“Dan respons daripada beberapa Gen Y yang tidak hidup pada zamannya akan berkata ‘Apa yang anda tahu? Anda tidak membina menara berkembar’,” katanya di Twitter hari ini.
Sejak BR1M diperkenalkan pada 2014, sebanyak 7,280, 340 permohonan di seluruh negara diluluskan.
Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng, juga mengulas kenyataan Dr Mahathir dengan berkata, jika beliau benar percaya BR1M adalah haram, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana mereka juga aktif mempromosi dan mengedarkan BR1M serta lain-lain bentuk bantuan wang tunai, katanya.
“Wakil rakyat PH perlu disiasat kerana bersubahat dalam rasuah dan melanggar undang-undang.
“Malah, negeri yang dikawal pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang juga mempunyai pelbagai program yang memberikan bantuan tunai kepada pengundi berdaftar di sana.”
Liang, yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam, senada dengan Khairy yang skim pemindahan tunai secara langsung yang sama turut diamalkan di kebanyakan negara lain.
“BR1M adalah alat dasar yang baik bagi membantu mencapai beberapa objektif sosio-ekonomi, seperti membantu mereka yang memerlukan, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan menggalakkan pembangunan di kawasan luar bandar.
“Pusat perkhidmatan Gerakan dan wakil akan terus membantu rakyat bagi memastikan hak mereka menerima BR1M dan bantuan lain di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri dipenuhi.”