Gara-gara roti canai, polis cedera ditikam di perut

Gara-gara roti canai, polis cedera ditikam di perut

Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada tindakan mangsa membuat pesanan roti canai dengan suspek yang disangkanya pekerja restoran berkenaan.

Ali-Ahmad_polis_tikam_600
KUALA LUMPUR:
Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera ditikam di perut dengan objek tajam dipercayai kerambit dalam pergaduhan dengan 2 lelaki di Selayang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata anggota polis berusia 26 tahun itu, yang bertugas di Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, kini dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata berikutan kejadian 5.30 pagi itu, polis menahan reman kedua-dua lelaki itu, yang berusia 24 tahun, mulai hari ini hingga Khamis.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada tindakan mangsa membuat pesanan roti canai dengan suspek yang disangkanya pekerja restoran berkenaan.

“Berikutan itu, semasa suspek beredar dari restoran berkenaan, seorang daripada suspek dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa menyebabkan mangsa mengejarnya hingga berlaku pergaduhan serta menyebabkan mangsa ditikam,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ali berkata kedua-dua suspek itu mengalami cedera ringan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan benda yang berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.