
Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pemilik rumah itu sudah memfailkan kes berhubung pemilikan premis terbabit kepada mahkamah.
“Sekiranya mahkamah memutuskan pengendali sedia ada (Persatuan Penyayang Ipoh) bukan pemilik rumah itu, maka penghuni terpaksa keluar.
“JKM akan bantu mendapatkan rumah atau tempat baharu dan memastikan ia beroperasi secara sah. Jadi, ibu bapa dan persatuan terbabit tidak perlu bimbang kerana anak-anak ini tidak akan terbiar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 200 kanak-kanak dari 5 sekolah Tamil di kawasan Buntong hari ini.
Bagaimanapun, katanya, rumah kebajikan Caring Hands (Kakum Karangal) itu akan beroperasi seperti biasa, selagi kes mahkamah belum selesai.
Mengulas lanjut kes penderaan di rumah kebajikan itu, Rusnah menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci.
“Biar polis jalankan siasatan, kalau terbukti dakwaan dera itu benar, biar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Persatuan Penyayang Ipoh membuat 2 laporan polis berhubung kes penderaan itu masing-masing pada 11 Jun dan 12 Ogos lalu.
Laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam mendakwa 12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan itu didera dari segi fizikal dan emosi selama bertahun-tahun, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
Laporan akhbar itu antara lain menyatakan mangsa mendakwa mereka disebat di tapak kaki, tangan dan punggung, selain dimasukkan dalam sangkar anjing dan tidak diberi makan jika melakukan kesalahan.
Bagi mengukuhkan lagi dakwaan itu, pemeriksaan kesihatan oleh pakar perunding kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan mangsa mengalami penderaan secara berterusan.
PAUTAN:
12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan didera ‘Datuk’, ‘Datin’