Polis usir 8 warga Indonesia simpan gambar IS

Polis usir 8 warga Indonesia simpan gambar IS

Difahamkan, semua suspek yang merupakan penuntut Sekolah Pondok Darul Hadits Bukit Tinggi di Sumatera Barat itu berada di Malaysia sejak 3 Januari lalu bagi mendapatkan rawatan kesihatan untuk salah seorang daripada mereka.

isis-indo
KUALA LUMPUR: Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas di Bukit Aman mengusir 8 warga Indonesia dari negara ini, selepas seorang daripada mereka dipercayai menyimpan gambar berunsur kumpulan militan IS dalam telefon bimbit.

Menurut sumber, kumpulan itu ditahan pihak berkuasa Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodland, Singapura kira-kira 1.30 pagi kelmarin.

“Ketika pemeriksaan, pihak Imigresen Singapura menemui gambar-gambar kumpulan militan IS serta gambar bom buatan tangan menggunakan kasut pada telefon bimbit salah seorang suspek.

“Pihak berkuasa Singapura kemudian meletakkan mereka pada status ‘Dilarang Masuk’ (NTL) ke republik itu, sebelum mereka diserahkan kepada polis Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber itu berkata, polis sudah menahan kumpulan itu dari jam 2.30 pagi hingga 9 pagi, dan hasil soal siasat mendapati suspek memperoleh gambar berkaitan IS melalui satu kumpulan WhatsApp yang disertainya.

“Selepas siasatan dijalankan, suspek diusir ke Batam, Indonesia dengan menaiki sebuah feri sebelum ditahan 2 jam kemudian oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Polis Daerah Riau untuk siasatan susulan,” katanya.

Difahamkan, semua suspek yang merupakan penuntut Sekolah Pondok Darul Hadits Bukit Tinggi di Sumatera Barat, Indonesia, berada di negara ini sejak 3 Januari lalu bagi mendapatkan rawatan kesihatan untuk salah seorang daripada mereka.

Bagaimanapun, 4 hari kemudian, mereka bermalam di Perlis sebelum menuju ke Pattani, Thailand untuk belajar sistem pendidikan di Lembaga Pendidikan Islam di daerah berkenaan.

Menurut sumber, semua suspek kembali ke negara ini pada Isnin lalu bagi memasuki Singapura menerusi pintu sempadan Johor.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.