Pengusaha teksi dakwa promosi tak ‘mantap’ punca rezeki turun 40%

Pengusaha teksi dakwa promosi tak ‘mantap’ punca rezeki turun 40%

Shamsubahrin berkata, keadaan itu berbeza dengan tahun sebelumnya di mana pendapatan pengusaha teksi meningkat pada musim perayaan.

bluetaxi-shamssudin
PETALING JAYA: Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd menyalahkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan gagal menjalankan promosi “mantap” bagi menarik pelancong ke negara ini sebagai punca pendapatan mereka merosot 40% pada musim perayaan tahun lalu.

Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, keadaan itu berbeza dengan tahun sebelumnya, di mana pendapatan pengusaha teksi meningkat ketika musim perayaan.

“Saya ada data dia. Dari KLCC kita boleh pantau setiap perjalanan penumpang. Apa yang saya tengok pada hujung tahun, masa kita sambut Krismas dan tahun baru saya nampak penurunan pendapatan itu.

“Maknanya, tidak ramai orang datang ke pusat pelancongan seperti KLCC seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Saya bagi contoh Tahun Baru Cina, macam tahun-tahun lepas sebelum 2016, ramai pelancong datang disebabkan cuti panjang. Saya rasa (promosi) pelancongan gagal,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Syarikat teksi konvensional turut berdepan saingan daripada perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina akhir bulan ini, ramai pemandu Uber dan Grab mungkin mengambil cuti untuk bersama keluarga mereka, begitu juga dengan pemandu teksi berbangsa Cina.

Jadi, adakah pendapatan pengusaha teksi akan terjejas kerana pemandu berbangsa Cina bercuti untuk meraikan Tahun Baru Cina dan sama ada pemandu mempunyai wang mencukupi bagi menyambut perayaan itu?

“Tak kira Grab, Uber atau teksi. Luar dari Kuala Lumpur dia akan balik kampung sebab perjumpaan bersama keluarga.

“Kebanyakan Cina ada 1 prinsip, Tahun Baru Cina dia tak cari makan. Itu masa dia berehat bersama keluarga. Selepas Tahun Baru Cina, dia akan kerja 1 tahun. Itu Cina punya prinsip,” kata Shamsubahrin.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pemandu teksi bangsa lain yang akan bekerja pada perayaan Tahun Baru Cina ini.

“Waktu perayaan Tahun Baru Cina, kebanyakan pemandu teksi berbangsa Cina bercuti. Pemandu yang bukan berbangsa Cina bekerja seperti biasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.