Kenderaan masuk ke Singapura dicaj S$6.40 mulai 15 Feb

Kenderaan masuk ke Singapura dicaj S$6.40 mulai 15 Feb

Langkah itu sebagai timbal balas terhadap caj yang dikenakan Malaysia sebanyak RM20 terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.

singapore
SINGAPURA:
Semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari 2017, demikian diumumkan Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) hari ini.

Dalam kenyataan di sini, LTA berkata langkah itu adalah sebagai timbal balas RRC terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.

RRC itu akan dikutip bersama-sama Permit Masuk Kenderaan (VEP), bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands, katanya.

Menurut LTA, papan tanda sudah dipasang untuk mengingatkan pemandu kenderaan supaya menjelaskan bayaran yang diperlukan dengan memasukkan Autopass Card atau CashCard mereka ke dalam alat pembaca kad di pondok imigresen.

LTA mengenakan penalti lebih berat terhadap pemandu kenderaan bermotor yang mengelak daripada menjelaskan bayaran tol dan caj berkenaan mulai 1 Ogos 2016.

Mereka yang melakukan kesalahan untuk kali pertama perlu membayar S$50, manaklala pesalah berulang dikenakan denda S$100.

Pemandu yang tidak menjelaskan bayaran itu boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, akan dikenakan denda tidak lebih S$1,000, atau hukuman penjara tidak lebih 3 bulan bagi pesalah kali pertama.

Pemandu kenderaan boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui risalah yang terdapat di pejabat LTA di psaut pemeriksaan atau secara dalam talian dengan melayari https://www.lta.gov.sg/content/ltaweb/en.html.

Singapura kenakan caj jalan raya kepada kenderaan Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.