
Perunding hartanah Ernest Cheong berkata jika pihak berkuasa mahu mengezonkan semula tanah untuk digunakan sebagai tapak perkuburan, mereka perlu memberitahu penduduk di kawasan itu dan beri mereka peluang untuk membantah.
“Kita perlu kenal pasti sama ada tanah itu dizonkan untuk kawasan perkuburan selaras dengan undang-undang dan adakah proses itu dipantau.
“Dalam kes ini, ia isu undang-undang dan bukan politik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas demonstrasi minggu lalu membabitkan penduduk dari 5 kampung yang membantah pemberian hak milik tanah di tengah-tengah kawasan perumahan mereka, untuk dijadikan kawasan perkuburan Cina.
Dalam kes itu, Cheong memetik Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan, yang mengendalikan hak hartanah.
Beliau yang juga juruukur bertauliah berkata pengezonan semula tanah untuk perkuburan perlu mematuhi peruntukan dalam Kanun Tanah Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa.
Katanya, jika proses itu tidak diguna pakai, kawasan perkuburan itu boleh dianggap dibuka secara haram dan pemilik tanah di kawasan sekitarnya boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
Bagaimanapun, katanya jika tanah kosong itu ditetapkan untuk tapak perkuburan sebelum kawasan sekitarnya dibangunkan, maka sepatutnya pembeli hartanah di kawasan sekitar perlu mencari maklumat awal sebelum membeli di kawasan itu.
Cheong berkata rakyat Malaysia biasanya tidak mahu tinggal berhampiran kawasan perkuburan kerana ia “pemandangan yang menakutkan” dan terlalu banyak pantang larang yang dikaitkan dengan tapak kubur.
“Di negara barat seperti Amerika Syarikat, kawasan perkuburan dikekalkan seperti taman dan tidak nampak menakutkan. Jadi, nilai dan permintaan bagi hartanah di sekitarnya tidak terjejas, tetapi ia berbeza di negara ini,” katanya.
Jurutera alam sekitar Ellias Saidin berkata perkuburan tidak sepatutnya terletak berhampiran sumber air bawah tanah.
Katanya, ini kerana mayat yang mereput boleh mencemari sumber air bawah tanah, dan mayat yang disuntik dengan cecair pengawet lebih berbahaya.
“Bila hujan dan tanah kubur jadi tidak telap, air boleh meresap dan mengalir menerusi keranda, terus ke sumber air bawah tanah,” katanya dan menambah itu sebabnya kawasan perkuburan perlu dibina di kawasan tanah liat, bukan pasir.