
Ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga menteri dalam negeri dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata, keputusan itu dibuat susulan pembekuan pengambilan pekerja asing yang diumumkan pada 19 Februari 2016.
Katanya, Kabinet sebelum ini bersetuju kelonggaran pengambilan diberikan kepada sektor kritikal, iaitu sektor perkilangan, pembinaan, perladangan dan sub-sektor pertanian seperti penanaman sayur, buah-buahan dan bunga.
“Kelonggaran ini diberikan setelah menimbang keperluan pihak industri dan agar ia tidak merencatkan pertumbuhan ekonomi, terutama bidang berasaskan eksport,” katanya.
Zahid berkata, kelonggaran terbaharu itu meliputi pengambilan pekerja asing bagi sub-sektor pertanian perternakan unggas, iaitu ayam daging, telur dan lain-lain di bawah pengambilan pekerja asing sektor kritikal.
Katanya, kebenaran juga diberikan kepada pengambilan pekerja asing bagi sektor perlombongan dan kuari.
“Kelulusan bagi sektor ini hanya akan diberikan secara interim bagi tempoh sehingga 2020 sahaja dan hanya akan diberikan kepada pengusaha yang diluluskan untuk mengusahakan lombong atau kuari,” katanya.
Beliau menjelaskan ia bagi memenuhi keperluan mendesak ketika ini kerana sub-sektor itu tidak dapat menarik minat warga tempatan disebabkan aktiviti perlombongan dan kuari dijalankan di luar bandar, selain pekerjaan yang dianggap sukar, kotor dan berbahaya.
Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju mengambil pekerja asing terhad kepada pengendali kargo yang beroperasi di pelabuhan sahaja.
Zahid berkata, kebenaran menggajikan pekerja asing secara interim dari 2012 hingga 2016 dilanjutkan sehingga akhir 2020 juga diberikan kepada pekerja asing bagi perkhidmatan sub-sektor spa dan urut kaki, sub sektor hotel/hospitaliti (back of house), pulau peranginan dan kedi golf (lelaki sahaja).
Sehingga 31 Disember 2016, bilangan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara Aktif adalah 1.86 juta pekerja, menurun 12.6% berbanding 2.14 juta pekerja bagi tempoh sama pada 2015.