Kerajaan cadang perluas pendidikan al-Quran, tahfiz di sekolah rendah

Kerajaan cadang perluas pendidikan al-Quran, tahfiz di sekolah rendah

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata perkara itu ada dibincang bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri Zahidi Hamidi berkata cadangan memperluaskan pendidikan agama dilakukan sebagai ibadat.
GOMBAK:
Kerajaan bercadang memperluaskan pendidikan al-Quran dan tahfiz dalam kalangan pelajar sekolah rendah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, minggu lalu.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan meneruskan kesinambungan pendidikan Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang diwujudkan sebelum ini dalam usaha membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu, dan berdaya saing.

“Saya telah mengadakan mesyuarat dengan menteri pendidikan agar pembelajaran pratahfiz di tadika Kemas dilanjutkan apabila mereka masuk ke sekolah rendah dan saya sedang mengaturkan agar daripada murid Darjah 1 hingga Darjah 6 akan menggunakan kurikulum pengajian hafazan al-Quran.

“Persetujuan telah dicapai dengan menteri pendidikan dalam mesyuarat yang kami adakan minggu lalu untuk diselaraskan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Huffaz al-Quran al-Karim di Maahad Tahfiz Almashrafe.

Ditanya sama ada cadangan itu turut melibatkan keperluan menambah guru agama, Zahid berkata perkara tersebut diserah kepada Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Zahid berkata cadangan memperluaskan pendidikan agama itu tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan politik, sebaliknya dilakukan sebagai ibadat.

“Ini semua dilakukan bukan kerana tujuan politik, tetapi ini adalah ibadat untuk melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.