
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata dalam persekitaran korporat yang kompetitif, setiap kepimpinan perlu berani membuat keputusan strategik demi kelangsungan organisasi.
“Saya yakin, dengan kepimpinan berani dan disiplin pelaksanaan yang konsisten, syarikat milikan agensi KKDW mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar yang lebih progresif dan mampan, Insya-Allah,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, perkara itu disampaikannya menerusi sesi bersama syarikat milikan agensi pada Permukiman KKDW 2026 diadakan bermula Ahad lalu hingga hari ini di Kuala Nerus.
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pada sesi tersebut beliau turut menegaskan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berprestasi tinggi mesti menjadi asas pengurusan syarikat.
Sementara itu, beliau berkata anjakan daripada ‘cost centre’ kepada ‘profit centre’ dilaksanakan sebelum ini mula membuahkan hasil apabila prestasi kewangan subsidiari menunjukkan peningkatan pendapatan dan keuntungan lebih kukuh.
“Namun, pencapaian ini hanyalah asas untuk melangkah lebih jauh. Keutamaan seterusnya ialah memastikan setiap keuntungan diterjemahkan kepada manfaat rakyat melalui pemanfaatan aset secara optimum, pengukuhan rantaian nilai industri luar bandar serta penggunaan data sebagai sumber baharu penjanaan pendapatan,” katanya.
Sesi Permukiman KKDW 2026 hari ini diteruskan dengan sesi bersama syarikat milikan agensi menghimpunkan pengerusi agensi, ketua agensi, ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif serta barisan pengurusan syarikat bawah KKDW
Ia diadakan bagi memperkukuh hala tuju syarikat sebagai pemacu ekonomi luar bandar.
Sesi Permukiman KKDW 2026 antara lain menyaksikan sesi pelaporan prestasi syarikat bagi tahun 2025 dan hala tuju syarikat untuk tahun ini.
Ahad lalu, Zahid turut melancarkan Pelan Strategik KKDW 2026-2030 yang menetapkan hala tuju pembangunan luar bandar bagi tempoh lima tahun.