
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata pendirian itu telah dinyatakan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 dan tidak terhad kepada Hamzah semata-mata.
“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja, bukan hanya Hamzah tetapi semua bekas ahli Umno, demi penyatuan Melayu,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Akmal menegaskan sebarang keputusan menerima semula bekas pemimpin parti adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Setakat ini belum ada permohonan daripada Hamzah. Jika perkara itu berlaku, keputusan akan dibuat oleh MKT. Kita ucap ‘welcome home’ jika ini terjadi,” katanya.
Ahli MKT Umno Ahmad Maslan berkata keterbukaan parti itu perlu dilihat dalam konteks gagasan yang digariskan Presiden Zahid Hamidi pada PAU, Jan lalu.
“Dalam PAU, presiden menggariskan tiga istilah besar iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agong. Ketiga-tiga ini melambangkan keterbukaan Umno kepada pihak yang tidak bersama dan ingin bersama,” katanya.
Menurut Ahmad, kenyataan Zahid mengenai keterbukaan menerima semula bekas pemimpin termasuk Hamzah selari dengan pendekatan tersebut, khususnya ketika Bersatu berdepan perpecahan dalaman.
Terdahulu, Zahid berkata parti itu sentiasa terbuka menerima mana-mana individu kembali menyertai Umno, termasuk Hamzah, selaras objektif penubuhan gagasan Rumah Bangsa.
Zahid berkata keterbukaan itu mencerminkan pendekatan inklusif Umno dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu bawah satu wadah politik yang stabil dan berpengalaman.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Azeem Fazwan Ahmad Farouk berpandangan kenyataan Zahid itu juga boleh ditafsir sebagai langkah strategik yang menambah tekanan terhadap Bersatu.
“Kenyataan Zahid ini boleh menimbulkan keraguan dalam Bersatu mengenai kesetiaan Hamzah, sekali gus memanjangkan pergolakan dalaman parti itu,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azeem berkata bukan mudah untuk Hamzah buat keputusan kembali ke Umno kerana mengambil kira penerimaan akar umbi dan tiada peranan rasmi dalam struktur parti.
Hamzah antara enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu pada 14 Dis 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid ketika itu.
Beliau dilaporkan dipanggil lembaga disiplin Bersatu susulan dakwaan pembabitannya dalam kekecohan dalam perhimpunan agung parti itu serta serangan terhadap Presidennya Muhyiddin Yassin.