
Saifuddin berkata, sesi dipengerusikan Azhar Harun bersama empat orang anggota lembaga rayuan dan berlangsung selama 85 minit.
Katanya, dalam perjumpaan itu, beliau diberikan ruang secukupnya untuk menerangkan perkara-perkara yang berlaku semasa sesi perjumpaannya dengan lembaga disiplin pada 6 Dis 2025.
“Saya membentangkan hujahan berdasarkan surat setebal 12 halaman yang saya kemukakan kepada lembaga rayuan pada 16 Jan.
“Saya menjelaskan bahawa dalam sesi dengan lembaga disiplin saya mengemukakan tiga tuntutan berkaitan prinsip keadilan semula jadi dan memohon satu tarikh baharu bagi sesi perjumpaan yang mematuhi prinsip-prinsip tersebut.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri sesi perjumpaan lembaga disiplin yang baharu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pada 6 Jan lalu beliau menerima pemberitahuan daripada lembaga disiplin bahawa keputusan telah dibuat untuk memecatnya.
“Dalam perjumpaan hari ini, lembaga rayuan memberi tumpuan khusus kepada aspek prosedur yang telah digunakan lembaga disiplin terhadap saya.
“Selain itu, saya turut menyerahkan sebuah warkah terbuka setebal 40 halaman bertajuk ‘Muhyiddin Hilang Arah, Wajar Berundur’,” katanya.
Pada 6 Jan lalu, lembaga disiplin memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota itu dengan alasan melanggar Klausa 9.1.4 perlembagaan yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Bekas menteri itu sebelum ini dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaannya supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden Bersatu.
Kenyataan beliau dibuat menerusi satu wawancara serta satu kenyataan bersama oleh beberapa ketua bahagian Bersatu.
Saifuddin mendakwa, Muhyiddin telah ‘kehilangan kualiti kepimpinan’ dan menggesa peletakan jawatan tokoh kanan parti termasuk Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau juga menggesa Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, ahli perniagaan dalam buruan Adlan Berhan, benar-benar melarikan diri ke luar negara, susulan gambar Adlan yang didakwa hidup mewah di luar negara.