Anak Adenan Satem sokong ibu tiri jadi calon Tanjung Datu

Anak Adenan Satem sokong ibu tiri jadi calon Tanjung Datu

Aziz Adenan memberi sokongan penuh kepada ibu tirinya untuk memastikan kemenangan BN kerana warisan bapanya boleh diteruskan.

aziz-jamilah-adenan
KUCHING:
Abdul Aziz Adenan menafikan iri hati atau kecewa dengan pemilihan ibu tirinya Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Jamilah, Aziz pada sidang media di pejabatnya semalam berkata: “Tidak ada rasa kecewa atau iri hati, kerana beliau juga adalah keluarga kami, dan kami berpegang kepada pertalian keluarga untuk meneruskan aspirasi keluarga kami.”

The Borneo Post memetik beliau berkata akan memberi sokongan penuh kepada ibu tirinya untuk memastikan kemenangan BN kerana warisan bapanya boleh diteruskan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg atas kesediaannya berunding dan membincangkan perkara berkaitan pencalonan.

“Ketua menteri bertemu dengan adik-adik saya dan saya serta ahli keluarga kami yang lain secara peribadi berkenaan perkara ini.

“Kami dengan rendah diri menerima dan menyokong keputusan dibuat ketua menteri mengenai pemilihan Datin Patinggi Jamilah Anu sebagai calon BN bagi PRK Tanjong Datu,” The Borneo Post memetik beliau sebagai berkata.

Aziz menafikan laporan berita yang diterbitkan The Borneo Post baru-baru ini yang mengatakan beliau dilihat turun padang merayu sokongan untuk dirinya sebagai calon BN bagi kerusi Tanjong Datu.

Adenan sebelum ini pernah berkahwin dengan adik Tun Abdul Taib Mahmud, yang kini menjadi gabenor Sarawak. Aziz adalah anak daripada perkahwinan itu.

Aziz, 45, dan anak Adenan dengan Jamilah, Azizul Annuar, 26, sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi.

Balu Adenan bakal bertanding di Tanjung Datu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.