Annuar Musa luang 4 jam tunai ‘tanggungjawab’ jumpa SPRM

annuar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil keterangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Annuar berkata, beliau meluangkan 4 jam untuk memberi keterangan mengenai aspek penajaan skuad bola sepak Kelantan dan isu berkaitan.

“Banyak perkara…macam-macam antaranya tentang keterlibatan saya di dalam UniKL (Universiti Kuala Lumpur), PMB (Pelaburan Mara Berhad), dalam syarikat yang menguruskan penajaan, Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) dan sebagainya,” katanya.

Beliau hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya secara sukarela awal pagi tadi dengan ditemani anak lelakinya.

Ditanya sama ada beliau merancang menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya, beliau akan menanggung sendiri dakwaan rasuah dan salah guna kuasa itu tanpa membabitkan orang lain.

“Perkara ini biarlah saya pikul sendiri. Saya yang dituduh. Kalau dipanggil jumpa PM pun saya tidak mahu, melainkan urusan parti. Saya tidak mahu orang tuduh bukan-bukan,” katanya.

Minggu lalu, mesyuarat khas Ahli Majlis Mara menggantung jawatan Annuar sebagai pengerusi Mara dan pengerusi PMB berkuat kuasa serta-merta, bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk The Red Warriors.

Susulan itu, SPRM pada hari sama membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

Perkara itu mula dibangkitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta Annuar menjelaskan dakwaan “tajaan paksa” PMB dan UniKL.

UniKL merupakan universiti swasta milik Mara.

Mara gantung Annuar Musa

SPRM sahkan siasatan terhadap Annuar Musa