
Beliau berkata penggunaan lambang Nazi dikutuk masyarakat dunia dan kebiasaannya kumpulan samseng yang menggunakan lambang Nazi untuk merujuk kepada serangan, keganasan dan kebencian.
“Dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita, kami tidak boleh bertolak ansur atau membiarkan penggunaan lambang Nazi.
“Perayaan Thaipusam (di negara ini) menarik kedatangan pelawat dari seluruh dunia dan kita tidak sepatutnya menggunakan lambang yang dikutuk ini sebagai sebahagian kebudayaan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata peranan polis semasa perayaan Thaipusam ialah untuk memastikan undang-undang dan ketenteraman awam serta keselamatan dan kesejahteraan penganut dan juga pelawat terjamin.
“Ini keutamaan kami dan kami tidak boleh membiarkan sekumpulan anak muda mencetuskan ketakutan dalam kalangan penganut dan pelawat,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata polis menahan sekumpulan 20 pemuda pada sambutan Thaipusam di sini bagi pelbagai kesalahan jenayah, termasuk rompak dan salah guna dadah.
“Sejak ditahan, beberapa daripada mereka termasuk 3 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang A Kumaresan yang kesal dengan tindakan polis menahan 20 individu kerana membawa kavadi dengan lambang Nazi.
Katanya, polis sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada badan agama Hindu terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan.