
Datuk Rizuan Abdul Hamid, yang juga ketua Umno Kepong, berkata isterinya Madinah seorang tegas dan serius dalam menjalankan tugas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk dirinya.
“Sewaktu jadi ketua setiausaha, dia seorang yang begitu mematuhi peraturan. Orang hendak jumpa, kontraktor hendak jumpa, semua tidak boleh. Kalau kata dia tidak layak, bererti itu bohong,” Rizuan memberitahu FMT.
“Saya jadi ketua bahagian Umno, apakah isteri saya tidak boleh jadi Ketua Audit Negara. Itu soal dia, tidak ada kena mengena dengan penglibatan saya dalam politik,” katanya kepada FMT.
Madinah dikritik beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoalkan kelayakannya memegang jawatan ketua audit negara ekoran terkait dengan penglibatan suaminya dalam Umno.
Ikrar Rizuan untuk berjuang bersama Najib sehingga ke nafas terakhir juga mula disebarkan selepas pengumuman perlantikan isterinya, menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang bersara.
Paling hebat
Rizuan berkata, pengkritik perlu menyemak semula trek rekod dan sumbangan isterinya kepada perkhidmatan awam.
“Orang yang kata dia (Madinah) tidak layak, dia kena tengok trek rekod dahulu. Madinah boleh buat kewangan, mengurus ‘human resource’ (sumber manusia) sewaktu dia pegang jawatan ketua setiausaha dahulu.
“Dalam laporan Ketua Audit Negara, dia (Madinah) yang paling hebat di antara semua kementerian. Maknanya dia paling hebat dalam kementerian,” katanya.
Madinah, yang mempunyai 35 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, merupakan ketua setiausaha Kementerian Pendidikan sehingga tempoh bersara wajib pada September tahun lepas.
Beliau berkelulusan Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia dan Sains Pembangunan Sumber Manusia, serta mempunyai doktor falsafah dalam bidang pengurusan sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia.
Rizuan berkata, beliau sendiri tidak terkejut dengan perlantikan isterinya kerana Madinah sebelum ini pernah dicalonkan sebagai ketua setiausaha negara.
“Sebenarnya, dia dahulunya bakal ketua setiausaha negara, namanya dicadangkan oleh bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
“Macam mana orang boleh kata dia tidak layak?”
Mengenai sokongannya kepada perdana menteri, Rizuan berkata ia hasil hubungan yang terjalin sejak tahun 1980-an lagi, sewaktu Najib masih memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno.
“Pada 1988, saya jadi exco Pemuda, dia (Najib) lantik saya.
“Sebab itu saya berani mati, saya tahu latar belakang dia.
“Pada waktu itu, hanya 7 orang sahaja ketua Umno bahagian yang ‘senior’, antaranya saya, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Ali Rustam, Datuk Seri Adnan Yaakob, dan Tan Sri Isa Samad. Jadi tentulah saya sokong dia,” katanya.
Hanya integriti diperlukan jadi ketua audit negara, kata Amanah