Permohonan SPRM ditolak, pegawai kanan imigresen bebas

Permohonan SPRM ditolak, pegawai kanan imigresen bebas

Pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak itu bersama 3 individu lain ditahan sejak Khamis lalu berhubung kes rasuah melibatkan operasi pusat hiburan dan rumah urut.

macc-1
IPOH: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak bersama 3 individu lain yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah, kini bebas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapatkan perintah lanjutan reman di Mahkamah Majistret hari ini.

Mereka yang tiba pada jam 9.45 pagi tadi, sebelum ini direman 5 hari mulai 23 Februari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan operasi pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu.

Majistret Suhaima Mohd Noor menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, untuk melanjutkan tempoh reman.

“Permohonan yang dikemukakan SPRM tidak mempunyai merit. Oleh itu, mahkamah membebaskan semua suspek,” kata Suhaima.

Pegawai kanan berusia 57 tahun itu bersama 2 ahli perniagaan berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun itu diwakili peguam Dexter Mah dan Ranjit Singh Sandhu.

Terdahulu, Nurul Wahida berhujah telefon bimbit yang dirampas daripada semua suspek untuk membantu siasatan sudah dihantar ke cawangan forensik teknologi SPRM.

“Maklumat banyak bergantung dalam telefon bimbit berkenaan, sekiranya reman tidak dibenarkan dan mereka dibebaskan ia boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, Mah berkata, tiada alasan untuk melanjutkan tempoh reman selepas semua anak guamnya memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

“Akaun bank, barang rampasan serta barang kes semuanya diserahkan kepada pihak penyiasatan. Jadi, tidak perlu lagi untuk melanjutkan tahanan reman terhadap anak guam saya,” katanya.

Menurut Ranjit Singh pula, alasan yang diberikan pihak penyiasatan seperti tiada kata kunci untuk membuka telefon bimbit semua suspek tiada asas kerana mereka boleh memperolehinya daripada cawangan forensik itu.

“Barang tidak boleh disentuh suspek kerana barang di bawah kawalan pihak penyiasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.