Exco Terengganu: Pemaju wajib peruntuk 10% rumah kepada belia bujang

Exco Terengganu: Pemaju wajib peruntuk 10% rumah kepada belia bujang

Rozi Mamat berkata, jika 10% unit rumah itu tidak dibeli belia bujang, maka pemaju boleh menjualnya kepada golongan lain.

Rozi-Mamat_ttbrumah_6001
HULU TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu mensyaratkan semua projek perumahan di negeri berkenaan supaya mengkhaskan 10% rumah untuk golongan belia yang belum berkahwin.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata, seperti yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini, langkah itu adalah satu daripada dasar Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

“Cuma permohonan haruslah ikut perkara yang digariskan pihak berwajib…jika tiada permohonan daripada mereka, barulah kita akan beri peluang kepada golongan lain,” katanya selepas merasmikan Program Bakti Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Telemong, hari ini.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor Unisza, Dr Afandi Mohamad.

Adun Telemong itu turut menyambut baik saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) supaya kerajaan negeri memberi kebebasan kepada orang muda untuk bersuara memberi pandangan dalam membangunkan negara.

“Apa isu sahaja kita akan terima, kita akan dengar, kita ingin menjaga orang muda untuk masa akan datang.

“Pandangan dan isu mereka ini akan dibawa dan diserahkan kepada sebuah jawatankuasa pusat dan akan dikupas balik…mana yang elok kita akan pertimbang untuk pembangunan masa depan,” katanya.

Rozi turut menyentuh pembinaaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu yang mendapat peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM50 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

“Ia satu mercu tanda baharu bagi kerajaan negeri dan Kuala Berang khususnya yang dilengkapi pelbagai kemudahan sukan untuk generasi muda Hulu Terengganu.

“Ini lebih kepada pembangunan infrastruktur yang kami sediakan, pembangunan kemudahan sukan akan datang…pembinaan masih mengikut jadual yang ditetapkan dan saya tidak nampak projek tersebut akan gagal kerana saya amat berharap ia dapat digunakan oleh orang muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.