Kes Jong Nam: Polis keluar waran tangkap pekerja Air Koryo

Kes Jong Nam: Polis keluar waran tangkap pekerja Air Koryo

Polis turut menghantar permohonan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan kerjasama daripada Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang Song, membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam.

khalid-abu-bakar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan waran tangkap kepada pekerja syarikat penerbangan Korea Utara (Air Koryo) yang dikenali sebagai Kim Uk Il, 37, bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga Korea Utara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara ini kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Khalid berkata, polis juga menghantar permohonan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan kerjasama daripada Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang Song, membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam yang memegang pasport atas nama Kim Chol.

Ditanya adakah surat permohonan melalui Wisma Putra sudah diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara, beliau berkata: “Sudah serah”.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, polis akan mematuhi protokol antarabangsa untuk menyiasat dan mendapatkan keterangan daripada Kwang Song yang mempunyai imuniti diplomat.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi menaiki penerbangan ke Macau, apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Abang kepada pemimpin utama Korea Utara Kim Jong Un itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Rabu lepas, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Jong Nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan itu.

Dalam pada itu, Ri Jong Chol, 47, yang direman sejak 18 Februari lalu berhubung siasatan kes pembunuhan itu, dalam proses dibebaskan dan dihantar pulang berikutan tiada bukti kukuh untuk mendakwanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.