Kastam guna peranti kesan peniaga elak GST

Kastam guna peranti kesan peniaga elak GST

'Dongle' akan dipasang pada mesin daftar tunai yang membolehkan setiap transaksi direkod dan dihantar ke mesin server Jabatan Kastam.

kastam-gst
ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memasang peranti ‘Dongle’ pada setiap premis yang berdaftar dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengesan peniaga yang mengelak daripada membayarnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST), Datuk Zulkifli Yahya berkata buat permulaan projek perintis berkenaan akan dimulakan di sekitar Lembah Klang bermula pertengahan bulan ini membabitkan 5,000 premis terpilih.

“‘Dongle’ akan dipasang pada setiap mesin daftar tunai yang membolehkan setiap transaksi direkod dan dihantar ke mesin server JKDM di ibu pejabat,” katanya selepas melancarkan Operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3.0 (Ops CBOS 3.0) peringkat negeri hari ini.

Jelasnya, mekanisme itu membolehkan pihaknya mengetahui masa sebenar pungutan sekali gus meningkatkan tahap pematuhan peniaga dalam menyerahkan penyata taksiran pertama (penyata GST-03) dan kewajipan menyerahkan resit kepada pengguna.

“Peranti tersebut akan dipasang dalam tempoh 3 bulan dan dilihat keberkesanannya sebelum dipasang secara kekal.

“Kita bergantung kepada dana dari Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sistem ini sepenuhnya kerana ia masih di peringkat cadangan,” kata Zulkifli.

Ops CBOS 3.0 akan melibatkan 200,000 syarikat berdaftar dengan GST yang bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap GST khususnya menerusi pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.