16 polis di 4 negeri didakwa atas tuduhan rasuah

16 polis di 4 negeri didakwa atas tuduhan rasuah

8 dituduh di Kuala Lumpur, 4 di Kota Kinabalu, 3 di Shah Alam dan 1 di George Town

sprm-polis-rasuah
KUALA LUMPUR:
Seramai 16 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat di 4 buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan menerima rasuah, hari ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata mereka yang dituduh termasuk seorang berpangkat deputi supritenden, 2 asisten supritenden dan 2 inspektor, manakala selebihnya anggota berpangkat rendah.

Lapan daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 4 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, 3 di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan 1 di Mahkamah Sesyen George Town.

“Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan mengikut mana-mana lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang terkecuali daripada siasatannya termasuk agensi penguatkuasaan jika didapati terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Agensi-agensi penguatkuasaan ini merupakan harapan masyarakat untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman jenayah selain menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.