Meritokrasi lebih penting dalam perkhidmatan awam, bukan kelayakan

Meritokrasi lebih penting dalam perkhidmatan awam, bukan kelayakan

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan berkata kelayakan pendidikan tidak menjamin kualiti.

Ramon-Malaysian-Workforce-1
PETALING JAYA: Berbanding kelayakan akademik, meritokrasi sebenarnya yang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, kata bekas penjawat awam kanan.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Tan Sri Ramon Navaratnam berkata demikian ketika mengulas cadangan ahli Parlimen PKR supaya menjadikan SPM sebagai kelayakan minimum bagi kerja kolar putih perkhidmatan awam.

Ramon berkata kerajaan tidak ada keperluan untuk berbuat begitu kerana kriteria kelayakan ditetapkan berbeza bagi setiap jawatan.

“Lebih pun kelayakan akademik tidak menjamin kualiti. Anda boleh ada diploma atau ijazah, tetapi jika tidak boleh buat kerja, apa gunanya?

“Kunci utamanya ialah beri kerja itu kepada individu terbaik dan berkembang dari situ.

“Setiap jawatan ada tempoh pengesahan, jadi kerajaan hanya perlu sahkan mereka yang terbukti boleh buat kerja itu,” katanya.

Seorang lagi bekas penjawat awam kanan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim menyuarakan pendapat senada dengan berkata kerajaan tidak boleh mengesahkan kakitangan yang tidak menunjukkan potensi untuk berkembang.

“Malah, mereka patut dibuang. Mereka yang kekal dalam perkhidmatan perlu diberi latihan untuk meningkatkan kemahiran,” kata bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan itu.

“Skim gaji juga perlu menyediakan insentif untuk memberi ganjaran kepada mereka yang cemerlang dengan diberi kenaikan gaji segera kerana menunjukkan peningkatan dalam kerja,” katanya kepada FMT.

Walaupun Sheriff setuju SPM patut dijadikan kelayakan kemasukan minimum bagi kerja kolar putih, beliau berkata pemohon juga perlu dinilai dalam aspek lain termasuk kualiti peribadi.

Dilaporkan sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendesak kerajaan menetapkan SPM sebagai kelayakan minimum bagi pekerja kolar putih perkhidmatan awam.

Fuziah berkata lebih 500,000 daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini mempunyai kelayakan SPM atau lebih rendah.

“Saya tidak berniat hendak menyinggung penjawat awam. Tetapi secara umumnya saya menjangkakan majoriti jawatan itu (dalam perkhidmatan awam) diisi lulusan ijazah.

“Mengambil lulusan ijazah atau sekurang-kurangnya diploma dalam kalangan penjawat awam boleh meningkatkan tahap perkhidmatan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.