2 pemimpin Umno persoal Annuar kaitkan tindakan Mara dengan UEC

2 pemimpin Umno persoal Annuar kaitkan tindakan Mara dengan UEC

Mereka berkata Annuar digantung tidak ada kena mengena dengan kenyataannya menyokong UEC.

annuar-musa
KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Umno hari ini mempersoalkan dakwaan Tan Sri Annuar Musa yang beliau digantung daripada jawatan pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana mengeluarkan kenyataan menyokong Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau sendiri seorang penyokong kuat UEC tetapi tidak berdepan dengan sebarang tindakan.

“Saya mahu tahu siapa yang mendiskriminasi dia, adakah kabinet?

“Saya sendiri menyokong UEC, walaupun Muhyiddin waktu menjadi menteri dia tidak bersetuju dengan UEC,” kata Nazri merujuk bekas menteri pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Annuar, yang juga ketua penerangan Umno, dipetik sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini sebagai berkata sokongannya terhadap UEC adalah punca utama beliau digantung jawatan pengerusi Mara.

Seminggu selepas digantung jawatan pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dalam mesyuarat khas Mara, Annuar bertemu wakil Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 7 Februari lalu dan menyeru isu pengiktirafan UEC diselesaikan secara baik.

Seorang lagi ahli MT Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata punca utama Annuar digantung jawatan berkait dengan penajaan anak syarikat Mara seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

“Saya difahamkan jawatankuasa audit dalaman hanya menjurus soalan-soalan kepada kes berkaitan dengan isu penajaan bola dan tidak ada kena mengena dengan kes kenyataan UEC.

“Saya difahamkan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu prosedur dan lain-lain,” kata Ismail kepada FMT hari ini.

 

Sokong UEC punca saya dijatuhkan, kata Annuar Musa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.