Guan Eng: Orang Umno pun rasa Labuan mundur

Guan Eng: Orang Umno pun rasa Labuan mundur

Kemarahan ahli Parlimen Kalabakan menunjukkan pengambilan tanah negeri menjadi wilayah persekutuan bukan idea yang bagus

guan-eng-labuan-1
GEORGE TOWN:
Kemarahan seorang wakil rakyat Sabah berkenaan status “kurang membangun” Labuan menunjukkan pengambilan tanah negeri menjadi wilayah persekutuan bukan idea yang bagus, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini.

Guan Eng berkata aduan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh semasa sidang Dewan Rakyat dikongsi beliau.

“Kami dengar Ghapur mempersoalkan mengapa kerajaan persekutuan tidak menunaikan janji membangunkan Labuan. Mengapa semua janji tidak dipenuhi?” soal ahli Parlimen Bagan pada sidang media di pejabatnya hari ini.

“Ghapur kata kerajaan ‘janji bulan dan langit’ tetapi tiada apa yang dilakukan.”

Menurut Guan Eng, Ghapur mengadu mengenai ketiadaan pembangunan di Labuan sejak dijadikan wilayah persekutuan. Sabah menyerahkan Labuan kepada kerajaan persekutuan pada 1984.

“Bahaya menjadikan satu-satu kawasan menjadi wilayah persekutuan sangat jelas dan nyata. Ia mungkin akan menjadi kawasan yang mundur dan miskin, katanya.

Pada 31 Januari, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemubual stesen radio BFM89.9 berkata beliau berhasrat menjadikan Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Pinang sebahagian wilayah persekutuan sekiranya diberi peluang. Beliau kemudian memasukkan Pulau Tioman dalam senarai hasrat itu.

Tengku Adnan berkata ia akan memastikan pembiayaan, pembangunan dan perumahan mencukupi dari kerajaan persekutuan untuk kawasan tersebut.

Hasrat itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada kerajaan Pulau Pinang dan Kedah.

Labuan diserahkan kesultanan Brunei kepada United Kingdom pada 1846 dan dijadikan sebahagian daripada Negeri-negeri Selat pada 1907.

Labuan dan Sabah kemudian dibentuk menjadi Tanah Jajahan Mahkota Borneo Utara pada 1946 dan kemudian dijadikan sebahagian dari Sabah pada Hari Malaysia 1963.

Selepas Labuan di jadikan wilayah persekutuan pada 1984, kerajaan persekutuan menjadikan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa pada 1990.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.