
Presiden Perkara, Datuk Ibrahim Ali yang mengesahkan afidavit untuk menyokong permohonan itu berkata, saman pemula itu menjejaskan hak dan kepentingan umat Islam di Malaysia.
“Saman itu akan menjejaskan hak kami untuk menimba ilmu melalui ceramah Zakir,” katanya kepada wartawan hari ini.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Perkasa mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu memandangkan ia ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk menegak dan memperkukuhkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Beliau berharap Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy yang merupakan seorang daripada 19 individu memfailkan saman itu tidak akan membantah permohonan Perkasa.
“Benarkan kami campur tangan dan biar mahkamah buat keputusan berdasarkan merit kes itu.”
Ibrahim mendakwa Zakir ialah tokoh Islam antarabangsa yang mempunyai reputasi baik dan tidak adil untuk 19 individu memberi gambaran negatif mengenai beliau.
“Saya tidak bertindak ganas selepas menghadiri wacana Zakir,” kata Ibrahim merujuk persepsi orang ramai yang pendakwah dari India itu menyokong keganasan dan ekstremisme.
Katanya, tidak salah untuk Zakir membuat perbandingan antara Islam dan agama lain dalam ceramahnya.
“Kami berbuat demikian di universiti. Bagaimanapun, umat Islam di sini tidak membantah orang bukan Islam berdakwah mengenai agama mereka dan Perkasa tidak ragu-ragu dengan umat Islam yang menghadiri acara sedemikian,” katanya.
Pada 1 Mac lalu, kumpulan 19 individu memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan Zakir merupakan ancaman terhadap keselamatan dan keharmonian negara serta mahu beliau ditangkap serta-merta.
Mereka juga mahu mahkamah menghalang beliau memasuki atau tinggal di negara ini.
Saman itu menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah Jabatan Imigresen, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Tahun lalu, Zakir mendapat perhatian media selepas Hindustan Times melaporkan beliau memegang 2 kewarganegaraan, iaitu India dan Malaysia. Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan itu.
Zakid sedang disiasat pihak berkuasa India atas dakwaan menyebarkan kebencian perkauman dan mengagungkan keganasan. Beliau turut dilaporkan dikehendaki Direktorat Penguatkuasaan India berhubung kes pengubahan wang haram.
Agensi Siasatan Negara India (NIA) turut menyiasat 78 akaun bank dan pelaburan berjumlah Rs100 crore (RM65 juta) dikaitkan dengan Zakir, lapor NDTV.
Beliau turut dilaporkan dilarang ke United Kingdom dan Kanada, susulan sokongannya kepada kumpulan pengganas. Bangladesh mengharamkan Peace TV yang menampilkan Zakir.