
Secara khusus, beliau berkata DAP ketinggalan dalam menyediakan bantuan untuk sekolah Cina.
“Tidak ada asas perbandingan kerana mereka hanya guna tin Milo untuk kutip duit, dan tidak 10 sen pun diberikan kepada sekolah Cina.
“Jika anda hendak buat perbandingan, saya tidak tahu berapa kali MCA sudah memberi jika dibandingkan dengan jumlah yang mereka beri,” katanya di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Wee berkata demikian sebagai respons kepada Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, yang awal hari ini meminta MCA untuk mengisytiharkan asetnya dan jumlah yang dibelanjakan untuk masyarakat Cina.
“Jika begitu, DAP juga patut isytihar berapa jumlah mereka sudah beri. Sudah tentu memalukan mereka kerana saya tidak fikir mereka beri sesen pun pada sekolah Cina,” kata Wee.
Beliau berkata MCA menggunakan dananya sendiri untuk membantu sekolah Cina dan juga membina Universiti Tunku Abdul Rahman, sedangkan DAP tidak membina walau tadika sekalipun.
“Jadi buat saja apa yang anda fikir baik untuk masyarakat. Buat saja. Kenapa nak fikir fasal parti lain,” katanya yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam, dan turut mencabar DAP memberikan projek apa yang dibiayai parti itu.