Lambakan pusat beli-belah beri masalah pada bank

Lambakan pusat beli-belah beri masalah pada bank

Jumlah pusat beli-belah terutama yang tidak berada dalam kawasan ramai penduduk akan berdepan masalah kewangan.

Ernest-Cheong-shopping-mall2
KUALA LUMPUR: Pakar hartanah veteran bimbang dengan lebihan tempat perniagaan di negara ini, dan berkata paling dibimbangkan ialah kesan terhadap bank yang memberikan pinjaman kepada pemaju pusat beli-belah.

Ernest Cheong berkata jumlah pusat beli-belah terutama yang tidak berada dalam kawasan ramai penduduk akan berdepan masalah kewangan.

“Pusat beli-belah lama yang terkenal dan disokong dengan populasi penduduk ramai seperti Sunway Pyramid dan One Utama akan ok. Tetapi tidak semua pusat beli-belah terletak dan dibina di kawasan seperti itu,” katanya kepada FMT.

Ogos lalu, dalam satu artikel di 80 Quartier, memetik data daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara, berkata Malaysia mempunyai 148.85 juta kaki persegi ruang niaga pada penghujung 2015, dengan tambahan 18 juta kaki persegi, sama ada sedang dibangunkan atau dirancang, kebanyakan di Lembah Klang dan Putrajaya.

Ia menyatakan kadar pengisian penyewa jatuh 2% hingga 3% setiap tahun sejak 2014.

Cheong berkata dengan banyak pusat beli-belah tumbuh di Lembah Klang, kesan terhadap lebihan penawaran ruang niaga dan kuasa membeli pengguna mengecut, amat menjejaskan.

“Cuba lihat kawasan seperti Kerinchi. Anda sudah ada Mid Valley, yang sangat terkenal dan mudah dikunjungi. Walaupun kawasan itu kurang populasi di sekitarnya, ada lagi ruang niaga baharu sedang dibina di sana.

“Dari mana datangnya permintaan? Ada ruang niaga di kawasan seperti Bangsar South belum terisi sepenuhnya.

“Begitu juga, ada banyak pusat beli-belah baharu di KL dan Selangor dengan banyak ruang niaga kosong,” katanya.

Katanya, jika semua pembangunan pusat beli-belah yang sedang dijalankan dihentikan sekali pun, masih sukar bagi pemilik bangunan mendapatkan 100% penyewa.

Beliau berkata situasi itu boleh jadi bertambah teruk dengan setiap peningkatan kos sara hidup.

“Anggaran konservatif ialah sekitar 40 pusat beli-belah, terutama yang baharu, akan berdepan masalah kewangan kerana tidak mampu menampung pinjaman,” katanya.

Katanya, keadaan itu akan memberi impak besar terhadap industri perbankan.

Cheong berkata secara kumulatif pinjaman yang diambil oleh 20 pemilik pusat beli-belah boleh mencapai berbilion ringgit.

“Bolehkah bank tampung kerugian sebanyak itu?,” katanya.

Cheong juga bercakap mengenai lebihan ruang pejabat dan unit perumahan mewah, dan memberi amaran sama.

“Ketika krisis ekonomi 1997, ketika bank dalam kesusahan, kerajaan boleh tolong mereka. Saya tidak fikir kerajaan pada masa ini boleh berbuat begitu lagi,” katanya.

Katanya, penutupan pusat beli-belah akibat lebihan bekalan ruang niaga akan menyebabkan ramai kehilangan kerja.

Pada Disember lalu, penasihat Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia Chan Hoi Choy memberitahu FMT peningkatan tahunan pusat beli-belah kini jadi “dua digit” dan ia ancaman terbesar bagi industri jualan.

“Pemaju perlu sangat berhati-hati dalam membina pusat beli-belah baharu. Mereka perlu jalankan kajian terperinci dan faham permintaan dan penawaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.