
Bercakap kepada pemberita di Parlimen semalam, beliau berkata Perlembagaan Malaysia menjamin hak semua rakyat, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan sekolah persendirian.
Ahli Parlimen Keterah berkata sekolah persendirian sah kerana lesen diberikan dan kerajaan juga membenarkan lepasan UEC melanjutkan pelajaran ke universiti swasta.
“Apa dosa pelajar sekolah persendirian? Kita nak letak beban kerana kita tak berani membuat keputusan?” soal Annuar, yang mendakwa pendiriannya mengenai UEC menyebabkan “timbul percanggahan dengan beberapa individu”.
Beliau sebelum ini berkata sokongannya kepada UEC merupakan antara sebab jawatannya sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) digantung. Ia bagaimanapun dinafikan Mara.
Annuar berkata, UEC tidak akan merugikan Malaysia, malah negara akan rugi sekiranya pelajar lulusan UEC “pergi ke tempat lain”.
Annuar berkata ramai pihak beremosi mengenai UEC tetapi isu mengiktiraf sijil itu tidak pernah dibawa ke Parlimen.
Menurutnya, pertemuannya dengan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong mendapati mereka bukanlah kumpulan pelampau seperti yang didakwa, dan menyeru dialog dengan mereka.
Annuar bagaimanapun menjelaskan pendiriannya itu bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian parti.
“Umno mesti bersedia menerima kepelbagaian pendapat kerana bagi saya negara ini mesti dipimpin oleh pemimpin yang menghormati semua kaum.
“Saya bayangkan satu hari rakyat Malaysia fasih bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.”
Kerajaan belum mahu mengiktiraf UEC, atas alasan kurikulumnya tidak seiring dengan dasar pendidikan kebangsaan, terutama Bahasa Melayu dan Sejarah.
Akibatnya, lepasan UEC tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan terpaksa memohon universiti swasta atau kolej yang mengiktiraf UEC.
2 pemimpin Umno persoal Annuar kaitkan tindakan Mara dengan UEC