
Bagaimanapun kata Khalid, identiti mereka tidak akan didedahkan bagi melancarkan siasatan yang dilakukan.
“Memang saya tidak menafikan terdapat sasaran individu-individu baharu termasuk orang-orang Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan ini dan kita akan menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan mereka.
“Namun saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka, tapi kita percaya ada di antara mereka ialah orang penting,” katanya dipetik Bernama.
Terdahulu beliau merasmikan Program Kembara Sang Saka Biru sempena Hari Polis Ke-210 pada 25 Mac ini.
Dua individu telah pun didakwa berhubung pembunuhan Jong Nam.
Khalid berkata, pihak polis masih menunggu bantuan daripada republik itu untuk menahan 4 suspek lelaki yang dikehendaki iaitu Rhi Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57 yang kini dipercayai berada di Pyongyang.
“Sekiranya pihak Korea Utara tidak mahu membantu, kita akan tengok apa-apa undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menangkap keempat-empat suspek tersebut.
“Ini adalah kes jenayah. Janganlah kita campurkan dengan hal-hal politik. Kita menyiasat kes pembunuhan yang berlaku di negara ini. Jadi adalah menjadi tanggung jawab kita menyiasat dengan telus dan mengikut undang-undang sedia ada,” kata beliau.