
Pengerusi PPBM itu berkata, PAS tiada hak mengugut.
“PAS tak ada hak meletakkan syarat untuk gabungan kami.
“Gabungan kami sudah dibentuk. Sesiapa yang nak masuk boleh, tak ada syarat,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan tiada lagi hubungan dengan PPBM, selepas parti itu menjadi ahli terbaru PH.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat PAS Pusat.
Semalam, Majlis Presiden PH sebulat suara menerima permohonan PPBM sebagai parti komponen ke-4 dan bersetuju mendaftarkan gabungan itu.
Pada 14 Mac lalu, Dr Mahathir mengumumkan ahli PPBM sebulat suara bersetuju membentuk sekutu dengan PH dan semua parti komponennya dicadang menggunakan logo dan manifesto sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Bekas perdana menteri itu turut mencadangkan nama gabungan itu ditukar. Tetapi, Dr Mahathir hari ini berkata, pertukaran nama itu tidak penting lagi.
“Kami akan bertanding (pada PRU14) sebagai PH, sebagai sebuah gabungan. Kami boleh ada 1 logo atau nama baru, tetapi itu terpulang.
“Ini kerana kami akan meletakkan calon bagi pihak gabungan itu, bukannya parti individu. Sama seperti Barisan Nasional (BN) apabila mereka bertanding, mereka guna logo BN.
“Kami perlu pastikan rakyat kenal simbol itu sebagai milik gabungan pembangkang,” katanya.