
Dennis Ignatius, bekas duta Malaysia ke Kanada, berkata ketika kebanyakan negara luar mengetatkan syarat kemasukan, Malaysia pula sebaliknya apabila pelbagai langkah diambil bagi memudahkan pelancong datang ke sini.
Katanya, warganegara asing dari banyak negara kini boleh mendapatkan visa sejurus tiba di Malaysia.
Menurutnya, ia menyebabkan pihak berkuasa sukar membuat pemeriksaan latar belakang terhadap setiap individu.
“Memang perjalanan tanpa visa yang diberikan kepada beberapa negara membawa manfaat, tetapi kemudahan sama sepatutnya tidak diberikan kepada negara seperti Korea Utara,” katanya menulis dalam FMT hari ini.
“Ini kerana tidak banyak rakyat Korea Utara yang melancong dan sudah terbukti mereka dikaitkan dengan penyalahgunaan visa.”
Beliau berkata kemudahan visa dan syarat longgar untuk masuk ke Malaysia seperti itu menjadikan negara ini seperti magnet kepada pelbagai individu berperwatakan buruk.
Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara Kim Jong Un, terbunuh selepas diserang 2 wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX, ketika berada di klia2 untuk menunggu pesawat ke Macau.
Dua wanita warga asing – Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu atas pertuduhan membunuh Jong Nam.
Satu-satunya suspek Korea Utara, Ri Jong Chol yang direman pada 18 Februari lalu, dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari Malaysia pada 3 Mac lalu.
Tujuh lagi warga Korea Utara dikehendaki polis Malaysia berhubung kes itu, dengan 4 daripada mereka dikatakan sudah kembali ke Pyongyang, manakala 2 lagi bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.
Visa pelajar
Dennis yang berpengalaman 30 tahun sebagai diplomat berkata visa pelajar juga mendedahkan Malaysia kepada warganegara luar yang cuba menjadikan negara ini pengkalan jenayah, malah ada pemegang visa yang terbabit dalam aktiviti berkaitan pengganas.
“Kita nampak seperti terlalu terdesak untuk mengembangkan industri pendidikan dengan hampir sesiapa saja dari ceruk dunia mana pun boleh mendapat visa pelajar dengan mudah untuk masuk ke Malaysia.
“Walaupun kebanyakan pelajar, yang sudah tentu tulen dan patut dialu-alukan ke negara ini, tetapi kerajaan perlu mewujudkan sistem pemeriksaan yang kukuh dan berkesan bagi memastikan program untuk pelajar tidak disalah guna,” katanya.
Dennis berkata hakikat yang membimbangkan sekarang ialah terdapat ratusan ribu warga asing tinggal di Malaysia secara haram, tanpa ada yang tahu siapa mereka, bagaimana mereka masuk dan apa yang hendak mereka lakukan di sini.
Katanya, Jabatan Imigresen juga terbukti sangat cuai dan tidak cekap dalam menyediakan tahap pengawasan dan penelitian yang mencukupi terhadap pelawat luar negara.
“Terlalu ramai pelawat yang tinggal di sini melebihi tempoh atau menyalahgunakan terma visa mereka tanpa dapat dikesan.
“Bagi semua maksud dan tujuan, bebas visa sudah menjadi seperti bebas untuk tinggal seberapa lama yang anda suka, bebas buat apa pun yang anda mahu,” katanya.
Beliau berkata daripada masa ke masa, pihak berkuasa melakukan operasi besar-besaran mencari pendatang asing, tetapi yang menjadi sasaran kebanyakannya hanya pelarian, bukan penjenayah, pengganas atau individu yang mengambil kesempatan terhadap keterbukaan negara.
Selain itu, katanya isu rasuah turut menyumbang kepada kemasukan penjenayah ke negara ini apabila wujud aktiviti salah pengurusan dan kegagalan mematuhi standard prosedur keselamatan imigresen hingga menyebabkan negara terdedah kepada pengganas dan pemerdagangan manusia.
“Individu tidak dikenali dengan sengaja dibenarkan melepasi pemeriksaan dan teknologi pengecaman wajah di pintu masuk dan pemeriksaan bagasi,” katanya.