
“Kita ini dalam sebuah negara demokrasi. Kita tiada masalah sesiapa mahu sokong siapa. Tetapi yang masalah adalah dia sebagai penjawat awam naik ke pentas pembangkang dan keluarkan ucapan menghentam kerajaan, sedangkan dia adalah penjawat awam.
“Kalau sampai ke tahap itu, itulah yang saya maksudkan baik dia berhentilah daripada menjadi guru,” katanya selepas merasmikan Kempen Penggunaan Kertas Kitar Semula 100% hari ini.
Semalam, Mahdzir berkata, hanya sebilangan kecil daripada 435,000 guru di seluruh negara yang dikesan terlibat secara aktif dengan pembangkang dan pihaknya sedang memantau perkara tersebut.
Beliau berkata, sebagai kakitangan kerajaan, semua guru tertakluk kepada Perintah-perintah Am dalam perkhidmatan awam dan hal ini berkaitan salah laku sebagai penjawat awam.
Mahdzir berkata, di pihak kementerian, pendekatan yang akan diambil ialah memberi nasihat kepada guru terbabit.
“Saya ini pun bukanlah ganas sangat. Kalau boleh saya tak mahulah sampai perlu mengambil tindakan. Kita lebih utamakan ‘engagement’ sekiranya mereka mahu mendengar,” jelasnya.
Menyentuh kritikan penjawat awam terhadap kerajaan di media sosial, Mahdzir berkata, prinsip kerajaan adalah sama, iaitu tidak menghalang teguran, tetapi janganlah sampai ia digunakan sebagai medan menyebarkan fitnah.