100 berkumpul luar Parlimen tuntut skim insurans hilang kerja

100 berkumpul luar Parlimen tuntut skim insurans hilang kerja

Jurucakap PSM mempertikaikan sama ada skim itu akan hanya diumumkan sebagai bahan pilihan raya.

berkumpul
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 100 orang mewakili beberapa pertubuhan pekerja hari ini berkumpul 2 jam di luar Bangunan Parlimen, menuntut kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan membantu pekerja yang diberhentikan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menganjurkan protes itu berkata skim bertujuan membantu pekerja diberhentikan sudah dijanjikan kerajaan sejak 2009.

Pengerusi biro pekerja PSM, Sivaranjani Manickam turut mempersoalkan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot pada minggu lalu yang Kabinet sudah pun meluluskan draf rang undang-undang untuk tujuan itu.

“Kerajaan sudah dua kali menjanjikan skim itu akan dilaksanakan, sekali oleh Riot pada 2015, dan sekali lagi oleh timbalannya pada November 2016.

“Mereka belum pun membentangkan rang undang-undang tersebut, dan ia bukan juga dalam senarai peraturan tetap untuk sesi ini,” katanya, yang menyifatkan skim tersebut sesuatu yang baik dan perlu dilaksanakan serta merta.

Sivaranjani berkata terdapat sejumlah besar pekerja yang diberhentikan yang kini berdepan kesusahan.

“Menurut statistik kerajaan, 38,000 orang hilang pekerjaan pada 2015 disebabkan syarikat ditutup atau mengurangkan pekerja.

“Ia meningkat kepada 40,000 pada 2016. Apa mekanisme perlindungan untuk pekerja ini?

“Ia bukan sahaja mengenai pampasan. Ia mengenai latihan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Sivaranjani berkata kenyataan Riot seolah-olah menunjukkan ia suatu helah kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang, dan mempersoalkan sama ada RUU itu menunggu pengumuman rasmi oleh perdana menteri sendiri.

Penunjuk perasaan dijangka bertemu Riot petang ini, di mana 28 daripada mereka akan menyerahkan tandatangan yang dikumpul menggesa program itu dilaksanakan.

Turut hadir pada protes hari ini ialah beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.