121,341 kes tertunggak di mahkamah, kata timbalan menteri

121,341 kes tertunggak di mahkamah, kata timbalan menteri

Sejumlah 51,697 kes tertunggak di Mahkamah Tinggi, 14,893 kes di Mahkamah Sesyen dan 54,751 kes di Mahkamah Majistret, kata Datuk Razali Ibrahim.

razali-ibrahim
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 121,341 kes yang masih tertunggak di mahkamah di pelbagai peringkat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah (Kaedah-kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

“Sejumlah 51,697 kes di Mahkamah Tinggi, 14,893 kes di Mahkamah Sesyen dan 54,751 kes di Mahkamah Majistret,” katanya.

RUU itu bertujuan menyeragamkan kaedah permulaan bagi tindakan sivil di mahkamah bagi meningkatkan tahap kecekapan mahkamah.

Ketika ucapan penggulungan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017, Razali turut menyatakan jumlah kes tertunggak di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

“Terdapat 1050 kes di Mahkamah Persekutuan bagi sivil dan jenayah. Manakala di Mahkamah Rayuan, 2281 bagi kes sivil dan 769 bagi kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), yang meminta Razali menyatakan berapa banyak kes yang belum diputuskan dan tertangguh sehingga lebih setahun, walaupun pihak mahkamah sudah menjanjikan akan memberikan penghakiman termasuk penghakiman bertulis, serta puncanya.

Razali berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat itu namun berjanji akan memberikannya kepada Kulasegaran nanti.

“Saya sudah minta tetapi malangnya mahkamah tiada statistik yang spesifik seperti itu. Saya tidak boleh memberikannya hari ini,” katanya.

RUU ini antara lain memberikan pencen dan faedah kepada hakim Mahkamah Tinggi yang berkhidmat tidak kurang 5 tahun berturut-turut, walaupun berhenti sebelum usia persaraan.

Kedua-dua RUU diluluskan Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.