Azmin: Selangor model efektif, tak timbul PAS harus keluar kerajaan negeri

Azmin: Selangor model efektif, tak timbul PAS harus keluar kerajaan negeri

Gabungan politik, PKR, DAP, PAS dan Amanah di Selangor berada dalam landasan yang baik dan memerlukan kerjasama antasara satu sama lain.

azmin-ali_pas_selangor_600
KUALA LUMPUR:
PAS perlu kekal dan tidak seharusanya tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya parti Islam itu perlu meninggalkan pentadbiran kerajaan Selangor, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor berkata, gabungan parti politik yang sedia ada di Selangor dalam mentadbir negeri berada di landasan yang cukup baik, sekali gus berjaya memulihkan ekonomi negeri.

“Perkara ini (keluar kerajaan) tidak perlu timbul kerana Selangor merupakan satu model pentadbiran yang cukup efektif dan berkesan dan kita telah membuktikan kerajaan dan muafakat atas kerangka bersama ini boleh membantu mengangkat martabat rakyat dan memulihkan ekonomi.

“Ini terbukti di Selangor kita ada PKR, DAP, PAS, Amanah dan PPBM, kita duduk berbincang dalam kerangka bersama dan akhirnya perpaduan ini telah disahkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia di mana salah satu kekuatan ekonomi kerajaan Selangor ialah melalui penyatuan dalam pentadbiran ini,” kata beliau.

Azmin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PKR Wilayah Perseketuan di Kelab Sultan Sulaiman hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, selebihnya beliau menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menilai keberkesanan pentadbiran sedia ada hasil gabungan, PKR, DAP, PAS dan Amanah di Selangor menerusi undi pada pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, parti itu tidak akan keluar daripada kerajaan negeri sehingga mereka mendapat arahan daripada pimpinan pusat atau diputuskan muktamar.

Katanya, tidak dinafikan ada sesetengah pihak berpendapat PAS wajar berpisah daripada kerajaan negeri ekoran ketegangan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan.

PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam Pakatan Harapan.

PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan Amanah, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Keluar kerajaan: PAS Selangor tunggu arahan pusat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.