
Ahli Bebas, Azrul Mohd Khalib berkata sokongan untuk meminda akta itu tidak terhad kepada pemimpin dan ahli PAS.
“Kita perlu sedar ini bukan isu yang hanya mendapat sokongan PAS saja.
“Ia bukan soalan kepada Umno buat keputusan untuk Malaysia dan rakyat, sama ada ia sesuai atau tidak.
“Islamisasi negara kita ialah agenda yang dibawa oleh banyak individu, parti dan organisasi,” katanya.
Azrul berkata RUU persendirian itu yang dibawa Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang – hanya salah satu daripada komponen agenda itu.
Katanya, keputusan kerajaan tidak meneruskan rancangan mengambil alih dan membentangkan RUU itu tidak bermakna ia sudah ditewaskan.
Ia masih RUU persendirian dalam senarai perundangan dan boleh dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Kami akan terus berwaspada dan memantau sikap wakil rakyat kita dan tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan pendapat umum dalam menentang RUU itu,” katanya.
Azrul berkata buat masa ini rakyat sudah bersuara dan tindakan kerajaan baru-baru ini sudah jelas menunjukkan respons terhadap RUU itu.
“Rakyat menolak RUU dan cadangan pindaan Hadi terhadap undang-undang itu,” katanya.
Sebelum ini, Bebas mengadakan himpunan balas terhadap cadangan pindaan itu, pada hari sama PAS mengadakan himpunan menyokong RUU berkenaan.
RUU itu memohon untuk menaikkan kuasa hukuman mahkamah syariah pada masa ini iaitu hukuman penjara maksimum 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.
Menerusi RUU itu, Hadi mencadangkan hukuman maksimum 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.