
Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Ahmad Tajudin Zain membenarkan ahli perniagaan berumur 70 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 dengan 2 penjamin.
Lelaki itu direman 5 hari bermula 30 Mac lepas dan tempoh reman berkenaan berakhir hari ini.
Terdahulu, ahli perniagaan tersebut yang lengkap berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, kira-kira 10.30 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Selepas prosiding selama 30 minit di bilik pendaftar, lelaki berkenaan dibawa menaiki kenderaan sama ke pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah.
Lelaki itu diwakili peguam Reza Rahim, Ong Yu Shin, B Jeyasingam dan N Rajiwan.
Lelaki itu ditahan SPRM kira-kira 8.30 malam 29 Mac lepas kerana dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan sejak beberapa tahun lepas.
Menurut sumber beliau dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan harga jauh lebih rendah daripada harga asal tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan anak syarikat yayasan berkenaan.
Selain itu, lelaki itu yang merupakan pemegang amanah dan pengarah dalam anak syarikat yayasan itu disyaki membuat keputusan menjual tanah berkenaan tanpa pengetahuan ahli lembaga pengarah anak syarikat yayasan.
Beliau dipercayai akan mendapat sekurang-kurangnya 1% daripada nilai tanah yang dijual sebagai habuan.