
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata undang-undang tersebut, yang dilihat penyelesaian terhadap tuntutan hak penjagaan anak oleh bekas suami isteri yang berlainan agama, boleh memberikan kesan serius terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka.
Hadi berkata akta tersebut perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.
“Jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain, mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini,” kata Hadi dalam kenyataan hari ini.
Hadi berkata umat Islam berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”.
Pindaan Akta 164 antara lain tidak akan membenarkan seseorang anak ditukar agamanya oleh salah seorang ibu bapa, seperti yang berlaku dalam beberapa kes merebut hak penjagaan di mana bapa yang memeluk Islam menukar agama anak tanpa kebenaran ibunya.
Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.
Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.
Syarat sokong RUU Hadi
Beberapa pemimpin PAS pernah memberi isyarat parti itu tidak akan menyokong pindaan Akta 164.
“Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya,” kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan.
Manakala Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.
“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan… Akta 164. Umno bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Akta ini diluluskan,” katanya.
Saranan Hadi hari ini selang seminggu selepas Barisan Nasional mengumumkan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Hadi untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
November lalu, PAS meletakkan syarat tidak membantah pindaan Akta 164 dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU Hadi.
“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.