Tak iktiraf UEC ke IPTA bukan tolak kaum Cina, kata exco Kedah

Tak iktiraf UEC ke IPTA bukan tolak kaum Cina, kata exco Kedah

Haim Hilman Abdullah dari PAS berkata mempertahankan pendidikan nasional penting bagi memastikan rakyat pelbagai kaum terus berkongsi identiti dan masa depan sama.

Haim Hilman Abdullah
Haim Hilman Abdullah dakwa ramai gagal membezakan persoalan bangsa dengan dasar negara sehingga mereka yang mempertahankan sistem pendidikan nasional akan segera dituduh anti-Cina, rasis atau tidak menghormati kepelbagaian budaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menolak pengiktirafan pelajar lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan bermaksud penolakan terhadap kaum Cina.

Exco Pengajian Tinggi Kedah Haim Hilman Abdullah berkata isu itu tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut bangsa, kerana persoalan lebih besar ialah dasar negara dan pembinaan identiti bersama rakyat Malaysia.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS itu, ramai gagal membezakan persoalan bangsa dengan dasar negara sehingga mereka yang mempertahankan sistem pendidikan nasional akan segera dituduh anti-Cina, rasis atau tidak menghormati kepelbagaian budaya.

“Mempertahankan pendidikan nasional bukanlah menolak kaum Cina, tetapi mempertahankan satu-satunya ruang yang masih mampu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang,” katanya dalam kenyataan.

Kontroversi UEC kembali mendapat perhatian selepas kerajaan minggu lalu mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagi calon aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (dakwah).

Keputusan itu bagaimanapun mengundang bantahan pihak yang mahu sistem pendidikan nasional, khususnya SPM, kekal sebagai asas utama kemasukan ke universiti awam.

Mengulas lanjut, Haim berkata pendidikan berteraskan kurikulum nasional penting kerana sekolah bukan sekadar tempat belajar mata pelajaran akademik, tetapi ruang anak-anak mengenal rakan berlainan kaum, memahami budaya berbeza dan membina jati diri kebangsaan.

Katanya, jika setiap kaum dipisahkan dalam sistem pendidikan berbeza sejak kecil, tidak menghairankan apabila mereka sukar memahami antara satu sama lain ketika dewasa.

Haim berkata isu UEC juga tidak boleh dilihat secara sempit sebagai isu akademik semata-mata, kerana ia berkait rapat dengan hala tuju pembinaan negara bangsa.

Beliau turut memberi amaran kelulusan terhad kepada pemegang UEC untuk memasuki program tertentu di IPTA boleh membuka ruang kepada tuntutan lebih besar pada masa depan.

Menurutnya, walaupun kebenaran itu hanya membabitkan program seperti Bahasa Cina, Linguistik dan Bahasa Cina, Pengajian Cina serta Bahasa Cina dengan Pendidikan, ia mungkin tidak terhenti di situ.

“Hari ini program bahasa, esok program ekonomi, lusa kejuruteraan, perubatan dan pelbagai bidang lain pula akan dituntut atas nama kesaksamaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.