
Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata “perhimpunan haram” dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967, yang kini digantikan APA, tidak ada menjadi istilah di bawah undang-undang.
“Pemberitahuan awal tentang perhimpunan tidak boleh dianggap sebagai meminta kebenaran atau pengesahan daripada pihak berkuasa dan ia hanyalah bagi maksud memudahkan pelaksanaan hak kebebasan berhimpun,” katanya dalam Laporan Tahunan Suhakam 2016, merujuk keperluan APA supaya penganjur perhimpunan di tempat awam memaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu.
Sebelum ini, di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967, penganjur perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah sebelum mengadakan apa-apa perhimpunan.
Sekiranya perhimpunan diadakan sebelum mendapat permit, ia menjadi perhimpunan haram dan peserta boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.
Bagaimanapun, di bawah APA, penganjur perlu memaklumkan kepada polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sesuatu perhimpunan di tempat awam, supaya polis dapat memastikan ia berjalan lancar.
Suhakam berkata pihak berkuasa dan sesetengah pihak masih melihat secara negatif peserta perhimpunan yang menjalankan hak untuk berhimpun secara aman.
Menurutnya, walaupun kebanyakan acara bantahan di negara demokratik lain bersifat tidak ganas, perhimpunan awam di Malaysia masih dianggap bermasalah, menyusahkan atau salah.
“Suhakam berpandangan atas sebab-sebab ini, pihak berkuasa telah cuba untuk mentakrifkan hak untuk berhimpun dengan cara yang terhad dan sempit,” katanya.
Menurutnya, di bawah APA, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Termasuk penjawat awam, pelajar universiti, ahli akademik dan guru. Ia akan menjadi pelanggaran kepada Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan jika hak untuk berhimpun secara aman disekat melalui pekeliling atau arahan kerajaan, universiti atau jabatan,” katanya.
Polis kerap menggunakan istilah “perhimpunan haram” dalam menghalang penganjuran protes di tempat awam.
Baru-baru ini, polis berkata ia tidak akan membenarkan penganjuran debat antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazir Razak, pada Jumaat ini.
Beberapa peguam bagaimanapun mempersoalkan alasan polis, dengan berkata program seumpama itu tidak memerlukan permit, dan di bawah APA polis bertanggungjawab memastikan sesuatu acara berjalan secara aman.