Polis tubuh pasukan petugas siasat kehilangan Peter Chong

peter-chong-hilangPETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat kes aktivis sosial Peter Chong yang hilang sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, pasukan petugas itu ditubuhkan susulan laporan dibuat keluarga Peter.

“Ya, kami telah menubuhkan 1 pasukan petugas. Ia ditubuhkan serta-merta selepas laporan polis dibuat,” katanya, sambil menambah, Bukit Aman juga terlibat dalam siasatan kes itu.

Amar berkata, pasukan petugas akan melihat kes itu “dari semua sudut.”

Beliau juga memberitahu FMT, laporan polis dibuat selepas 48 jam dan bukannya 24 jam untuk orang yang hilang seperti biasa sebab Peter juga kerap tidak pulang ke rumah.

Anaknya, Darryl membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya pada 8 April selepas usaha untuk menghubunginya gagal.

Kes Peter diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.

Beliau dikatakan hilang selepas berhadapan dengan orang yang tidak dikenali yang mengatakan dia telah dilihat di perhimpunan nyalaan untuk Pastor Raymond Koh, yang hilang sejak 13 Februari lalu.

Kehilangan Peter, yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, adalah yang ke-5 dalam tempoh 6 bulan lalu.

Sebelum ini, Koh dan 3 individu lain dilaporkan hilang dan kes mereka belum terungkai sehingga kini.

Peter yang sering menyertai acara menyala lilin untuk kehilangan Koh dan 3 yang lain, memuat naik satu status di laman Facebooknya pada 31 Mac lalu memaklumkan seorang penunggang motosikal memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati ketika menghadiri acara 4 mangsa hilang itu.

“Saya sedang berjalan ke sebuah warung untuk makan sarapan. Seorang penunggang motosikal muda datang dan bertanya adakah saya tinggal di kawasan sekitar. Saya tanya dia balik, kenapa?

“Dia kata kenal saya dan saya suka hadiri protes dan majlis menyala lilin. Saya tanya dia datang dari mana? Saya sedikit risau dan lihat sekeliling saya, tetapi tidak ada orang lain.

“Dia kata dia sokong apa saya lakukan, tapi ‘mahu hati-hati’…sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.

“Saya tanya mereka itu siapa? Dia cuma kata, pandai-pandai la…jaga diri bos… dan pergi meninggalkan saya,” tulis Peter dalam status terakhir di Facebooknya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/04/10/police-set-up-task-force-to-probe-peter-chongs-disappearance/