Kartunkan pemimpin OK, tapi bukan monyet, kata PAS

pas-newPETALING JAYA: PETALING JAYA: PAS menyifatkan karikatur presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang digambarkan sebagai monyet sebagai penghinaan yang jelas dan tidak boleh diterima oleh parti Islam itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, bukan sahaja menghina Hadi apabila melukiskan pakaian agama yang menurutnya menyentuh sensitiviti Islam.

“Lukis karikatur seperti pemimpin lain tidak ada masalah, tetapi yang hina itu tidak boleh. Apa yang dihina itu bukan lukis pemimpin PAS, tetapi lukis monyet dengan pakaian agama.

“Dan gambaran itu diberikan kepada akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang merujuk kepada Hadi. Itu kita tidak boleh terima,” katanya kepada FMT.

Kira-kira 150 ahli dan penyokong PAS hari ini berkumpul di luar pejabat Nanyang Siang Pau di sini, menuntut akhbar itu memohon maaf secara terus kepada Hadi.

Semalam, Nanyang Siang Pau memohon maaf kepada Hadi dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, susulan kecaman daripada PAS terhadap kartun bertajuk “Akta Drama Monyet”.

Ia memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Pandikar menangguhkan sidang sebelum memberikan ruang RUU itu dibahaskan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehen Mukhyi berkata protes yang dianjurkan hari ini bagi menyatakan mesej keharmonian yang dibawa PAS.

“Himpunan ini bukanlah untuk menyatakan rasa benci kepada kaum berbangsa lain, tetapi kita mahu ajar mereka untuk hidup secara harmoni,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula lesen akhbar Nanyang Siang Pau.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.