Nanyang akan hantar surat mohon maaf kepada Hadi, Pandikar

hadi-awang_pandikar_law_600

PETALING JAYA: Akhbar Nanyang Siang Pau akan menghantar surat rasmi permohonan maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam masa terdekat.

Ketua pengarangnya, Chan Aun Kuang berkata, tindakan itu susulan permohonan maaf secara terbuka yang dibuat akhbar berbahasa Cina itu semalam.

“Kita dah buat keputusan untuk meminta maaf secara terbuka kepada kedua-dua pemimpin tersebut. Ia sudah dilakukan dan dilaporkan media lain (semalam).

“Sekarang, kita akan ‘follow up’ dengan menghantar surat rasmi kepada mereka (Hadi dan Pandikar),” katanya kepada FMT ketika mengulas desakan sekumpulan ahli PAS mendesak akhbar itu memohon maaf secara terus kepada Hadi kerana menyiarkan kartun dianggap menghina presidennya.

Seramai 150 ahli Pemuda PAS berkumpul di luar pejabat akhbar itu pagi tadi dengan 4 tuntutan, yang antaranya mahu akhbar itu mencetak permohonan maafnya secara meluas, di samping memohon maaf terus kepada Hadi dan Pandikar.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berharap insiden dan kesilapan disengajakan itu tidak berulang kerana ianya menyentuh sensitiviti umat Islam dan negara.

Kartun bertajuk “Akta Drama Monyet” memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibentangkan Hadi pada Khamis lalu.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang dan bukannya memberi ruang untuk membahaskan RUU itu.

Petang semalam, akhbar itu membuat permohonan maaf terbuka kepada Hadi dan Pandikar.

Chan berkata, tuntutan PAS untuk mencetak permohonan maaf secara meluas akan dimaklumkan kemudian.

“Kita akan maklumkan nanti dalam satu kenyataan media,” katanya ringkas.

RUU yang dibentangkan Hadi mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali, berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Kartun monyet: PAS mahu Nanyang minta maaf terus kepada Hadi

Kartunkan pemimpin OK, tapi bukan monyet, kata PAS

Nanyang minta maaf hina Pandikar, Hadi