Henti niaga boleh, tapi mengapa paksa, soal bukan Islam Kelantan

Lim-Kham-Hong--3

PETALING JAYA: Masyarakat bukan Islam di Kelantan tidak mempunyai masalah menghentikan aktiviti perniagaan untuk seketika bagi memberi laluan kepada waktu solat Maghrib, tetapi bukan dengan cara peraturan dan paksaan, kata seorang pemimpin masyarakat Cina.

Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) Lim Kham Hong berkata arahan supaya peniaga pasar malam berhenti seketika selepas azan Maghrib sepatutnya diutamakan kepada peniaga Islam, dan tidak memaksa peniaga bukan Islam sehingga mengenakan tindakan saman.

“Yang penting ia tidak mengganggu penganut agama lain, kerana kita faham orang Islam wajib melakukannya kalau ia dituntut agama.

“Tetapi kalau melibatkan peniaga Cina dipaksa berhenti dan bukan dengan kerelaan, itu kita tidak setuju,” katanya kepada FMT.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS mewajibkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ia bagi memastikan umat Islam boleh menunaikan sembahyang Maghrib.

“Semua peniaga terlibat, termasuk bukan Islam. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.

“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” kata Fattah kepada FMT semalam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PPCK Lee Hok Cheng, berkata beliau secara peribadi setuju arahan itu kerana melambangkan penghormatan kepada majoriti rakyat Kelantan yang beragama Islam.

“Perkara itu sudah menjadi kebiasaan di Kelantan tetapi bukan Islam luar Kelantan, saya tidak tahu bagaimana dengan penerimaan mereka,” katanya.

Lee mendakwa ada pihak cuba memperbesarkan isu itu.

“Cuma ada segelintir sahaja pihak yang cuba menjadikan perkara ini sebagai isu yang boleh merosakkan hubungan muhibah pelbagai kaum di Kelantan,” katanya.

Exco Kelantan: Peniaga bukan Islam juga perlu henti niaga ketika solat Maghrib