
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam berkata ketua kumpulan itu berumur 31 tahun dan baru keluar dari penjara tahun lepas manakala 2 lagi lelaki yang ditahan berumur 24 tahun. Mereka semua positif dadah.
“Tiga lelaki terbabit dikesan di dalam kereta Honda City di Taman Robina, Teluk Air Tawar.
Mereka dipercayai baru memecah masuk sebuah banglo di kawasan itu jam 12.30 tengah hari, kemudian memecut kereta menghala Butterworth selepas menyedari kehadiran polis.
“Polis mengejar mereka yang kemudiannya masuk ke Lebuhraya Utara Selatan dan keluar semula di susur Permatang Pauh.
“Ketika dikejar, mereka membuang pelbagai barang ke arah kereta polis dipercayai cuba menghalang kami.
“Kenderaan itu terbabas dan melanggar pokok ketika sampai di kawasan Taman Pauh Jaya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah inap desa di Juru yang disewa 3 lelaki itu sejak Sabtu lepas dan merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya barang kemas, telefon bimbit, jam tangan, beg berjenama, barangan elektrik, kunci kenderaan dan komputer riba.
Azmi berkata polis turut merampas kereta Honda Accord di rumah inap desa itu serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah antaranya parang, pemotong besi, pisau dan alat pemotong.
“Kereta Honda Accord dan Honda City itu dilapor dicuri di Alor Star dan Sungai Petani, Kedah baru-baru ini,” katanya sambil memberitahu polis turut menemui sejumlah nombor pendaftaran palsu.
Beliau berkata 3 lelaki terbabit turut dikehendaki polis berhubung kes pecah rumah di Batu Pahat, Johor baru-baru ini dan disyaki turut terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di Perak dan Selangor.
Mereka dikatakan hidup berpindah randah dari satu negeri ke satu negeri lain.
Sementara itu, di Bukit Mertajam, sepasang kekasih ditahan semasa mencuri sarang burung layang-layang di sebuah rumah burung layang-layang di Taman Perindustrian Permatang Tinggi awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kejadian itu disedari pemilik rumah itu yang pergi ke premis berkenaan jam 5.58 pagi dan mendapati ada kesan pecah di dalam rumah burung layang-layang tersebut.
“Wanita berumur 29 tahun ditemui di dalam rumah tersebut, manakala seorang lelaki berumur 46 tahun di atas bumbung premis berkenaan.
“Kedua-dua mereka positif dadah,” katanya hari ini.
Beliau berkata polis turut menemui besi panjang, tangga, sebilah pisau, besi pengikis, pemutar skru dan 2 sarang burung layang-layang dalam kereta Mitsubishi Triton milik suspek yang berada tidak jauh dari rumah berkenaan.