Bos Malaysiakini didakwa atas video kritik peguam negara

Bos Malaysiakini didakwa atas video kritik peguam negara

Video itu dikaitkan dengan kritikan seorang bekas pemimpin Umno terhadap peguam negara.

Premesh-Chandran
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran hari ini dihadapkan ke Mahkamah Siber Kuala Lumpur berhubung video mengkritik Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang disiarkan portal berita itu tahun lalu.

Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dan Premesh yang kini berada di London menyerahkan pasportnya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan Premesh hanya perlu memberikan bon peribadi.

Pendakwaan terhadap Premesh hari ini dibuat kira-kira 6 bulan selepas Premesh dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan didakwa November lalu atas video yang disiarkan KiniTV.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berkaitan penggunaan kedudukan mereka sebagai pengarah KiniTV untuk memuat naik video itu dalam talian.

Mereka berdepan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Video terbabit ialah sebuah sidang media yang diadakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Julai 2016 bertajuk “Khairuddin: Apandi tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan” yang dimuat naik dalam bahasa Inggeris dan Malaysia pada 27 Julai 2016.

Malaysiakini hari ini melaporkan peguam portal berita itu akan memfailkan permohonan untuk mencabar Perlembagaan terhadap pertuduhan itu dalam tempoh 2 minggu.

 

Pengasas Malaysiakini diheret ke mahkamah siber esok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.