Ahli Parlimen bukan Santa Claus, kata wakil rakyat PSM

Ahli Parlimen bukan Santa Claus, kata wakil rakyat PSM

Michael Jeyakumar mendakwa penyokong BN akan menerima hamper buah-buahan dan pemberian lain ketika pilihan raya dan mereka takut dilihat bersamanya kerana tidak mahu terlepas pemberian itu.

Michael-Jeyakumar-psm
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak boleh mengharapkan ahli Parlimen menjadi Santa Claus dan pada masa sama menuntut mereka bebas daripada rasuah, kata satu-satunya wakil rakyat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar.

“Jika anda bersih, anda akan kekurangan wang dan itu adalah hakikat yang orang ramai perlu terima.

“Kita perlu mendidik orang ramai untuk melihat apa yang mereka mahu daripada ahli politik kerana mereka menjual hak mereka untuk wang. Sebaik sahaja anda melakukannya, tidak boleh patah balik lagi.

“Berjuang untuk dasar lebih baik, bukannya pemberian,” kata ahli Parlimen Sungai Siput itu pada sidang media hari ini di mana beliau membuat pengisytiharan harta tahunan.

Sejak 2008, selepas PSM memenangi kerusi Parlimen pertamanya, pemegang jawatan kerajaan dalam parti itu mengisytiharkan aset mereka secara tetap.

Jeyakumar mengakui ada pihak menggunakan wang untuk membeli undi di Malaysia.

Beliau mendakwa rakyat termiskin di kawasan Parlimennya di Perak yang menyokong BN akan mendapat hamper buah-buahan dan pemberian lain ketika pilihan raya.

“Mereka takut mendekati saya kerana ia mungkin menyebabkan mereka tertinggal pemberian itu.”

Bagi membendung budaya politik wang, Jeyakumar mencadangkan kerajaan menyediakan dana kepada semua parti di kawasan mereka dan tidak mengehadkan dana itu kepada parti komponen BN semata-mata.

Dalam pengisytiharan hartanya, Jeyakumar mendedahkan gaji dan elaun bulanan sebagai ahli Parlimen berjumlah RM25,500 di mana beliau membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk aktiviti politiknya.

Beliau turut menerima wang pencen hampir RM2,400 sebulan sebagai bekas pegawai perubatan kerajaan, tetapi mengalami kerugian sebanyak RM1,000 sebulan di Pusat Perubatan Kinta miliknya.

Hasil sumbangan rakan, jualan buku dan majlis makan malam PSM di Ipoh pula melebihi RM35,000.

Beliau memiliki sebuah rumah bernilai kira-kira RM150,000 dan 5 kereta bernilai sekitar RM30,000.

Selain itu, beliau mempunyai RM54,000 dalam akaun simpanan, saham bernilai hampir RM48,000 dan nilai bonus tunai polisi insurans kira-kira RM10,800.

“Sebuah Kancil diberikan kepada nenek saya dan sebuah Toyota Vios yang dihadiahkan bapa mertua saya.”

Dari segi perbelanjaan pula, katanya, ia berjumlah RM285,236 setahun dengan bahagian terbesar untuk membayar gaji, elaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan premium insurans kepada 3 pekerja sepenuh masanya yang berjumlah RM88,874.

“Saya membayar gaji lebih rendah kepada mereka walaupun mereka mungkin boleh mendapat gaji lebih tinggi di tempat lain. Nasib baik mereka ialah ahli parti,” katanya.

Jeyakumar bergurau sejak gaji dan elaun ahli Parlimennya dinaikkan pada 2015, beliau tidak perlu lagi merayu rakannya untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi menampung aktiviti politiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.