Exco PAS harap semua wakil PKR di Kelantan kekal

Exco PAS harap semua wakil PKR di Kelantan kekal

Abdul Fattah Mahmood berkata, walaupun hubungan politik sudah putus, wakil PKR dalam pentadbiran Kelantan perlu meneruskan tugas berkhidmat kepada rakyat memandangkan PRU14 semakin dekat.

Fattah-Mahmood-pkr
PETALING JAYA: Exco Kelantan, Datuk Dr Abdul Fattah Mahmood berkata, belum ada wakil PKR dalam pentadbiran negeri itu yang meletak jawatan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Selasa lalu, susulan keputusan PAS menamatkan hubungan dengan parti reformasi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan itu berharap semua wakil PKR yang dilantik akan terus memegang jawatan mereka sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

“Secara peribadi, saya belum menerima apa-apa surat peletakan jawatan setakat ini. Kita masih mengharapkan mereka mengekalkan jawatan tersebut, sebab kita sudah membuat pelantikan dan sesetengah itu sudah mengangkat sumpah dan separuh lagi akan mengangkat sumpah Ahad ini mengikut PBT masing-masing.

“Kita harap mereka kekal hingga hujung tahun paling tidak dan seelok-eloknya sehingga PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya kepada FMT hari ini.

Mengulas lanjut, Fattah berkata, secara keseluruhannya 37 ahli PKR dilantik sebagai ahli majlis tempatan di Kelantan.

Beliau menasihatkan semua pihak berlapang dada dan tidak menjadikan kepentingan politik sebagai keutamaan kerana tugas menjaga kebajikan rakyat lebih penting.

“Walaupun hubungan politik sudah putus, tetapi hubungan untuk kita meneruskan kebajikan rakyat bersama perlu diteruskan dan kita ketepikan kepentingan politik dan fokus untuk meneruskan agenda membantu rakyat.

“Sebab masa yang kita ada untuk berkhidmat kepada rakyat sudah suntuk (singkat), memandangkan tarikh pilihan raya sudah dekat dan tugas kebajikan rakyat perlu diselesaikan,” katanya.

Selain 37 ahli majlis tempatan, PKR juga mempunyai 14 wakil yang dilantik sebagai ketua kampung, 3 penyelia kawasan DUN dan 3 penyelia kawasan Parlimen di Kelantan.

Selasa lalu, presiden PKR mengarahkan semua ahli partinya yang dilantik dalam pentadbiran Kelantan, termasuk lantikan di syarikat berkaitan kerajaan negeri meletak jawatan serta-merta, susulan keputusan PAS menamatkan “tahaluf siyasi” dengan parti itu.

Muktamar PAS pada 30 April lalu sebulat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” atau kerjasama politik dengan PKR.

Keputusan itu kemudiannya diluluskan Majlis Syura Ulama PAS pada 11 Mei lalu yang menyaksikan 3 exco parti Islam itu berdepan desakan pelbagai pihak untuk melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor yang turut disertai PKR dan DAP.

PKR arahkan ahlinya keluar pentadbiran PAS di Kelantan

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.