Peguam persoal Najib tidak kutuk jenayah depan mata oleh Mat Over

Peguam persoal Najib tidak kutuk jenayah depan mata oleh Mat Over

Apa yang berlaku jelas perbuatan jenayah yang boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan, kata peguam N Surendran.

n-surendran-najib
PETALING JAYA: Peguam dan Ahli Parlimen PKR N Surendran hari ini mempersoalkan kegagalan Datuk Seri Najib Razak mengutuk kelakuan jenayah yang disaksikan olehnya ketika sesi Dialog Transformasi Nasional (TN50) di kediaman rasminya di Putrajaya malam tadi.

“Amat mengejutkan dan tidak boleh diterima yang perdana menteri Malaysia, selepas menjadi saksi dari jarak dekat jenayah berbentuk kekerasan ini, langsung tidak mengutuk atau menegur,” kata Surendran.

Beliau merujuk program Najib bersama “penggiat seni” yang dipengerusikan pelakon Datuk Rosyam Nor, yang menyaksikan pengarah filem Datuk David Teo tampil mempersoalkan Rosyam yang tidak memberikan peluang kepada mereka yang berada di barisan belakang mengajukan soalan.

Bagaimanapun, selepas dibenarkan meneruskan soalan kepada Najib, pelakon Sulaiman Yassin yang dikenali dengan panggilan “Mat Over” tiba-tiba meluru dan menampar Teo, menyebabkan pergelutan sehingga memaksa pasukan keselamatan meleraikan keadaan.

Walaupun kedua-dua mereka kembali ke pentas di akhir sesi dan bermaafan, Mat Over berkata beliau tidak menyesali perbuatannya, malah berkata ia perlu supaya mengajar Teo yang menurutnya biadap terhadap Najib.

Surendran berkata polis perlu menyiasat kejadian itu dan undang-undang perlu dihormati.

“Apabila sesuatu jenayah berlaku, PM atau sesiapa pun tidak berhak menyelesaikan perkara itu (di luar kerangka undang-undang),” kata Surendran.

Menurutnya, Mat Over boleh didakwa di bawah Seksyen 351 dan 321 Kanun Keseksaan atas tuduhan melakukan serangan dan sengaja menyebabkan kecederaan.

Surendran turut menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat insiden itu.

“Identiti penyerang dapat disahkan dengan jelas menerusi rakaman video insiden itu.

“Walau apa pun, kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan.”

Mat Over tak kesal tampar kerana mahu ajar Teo hormat PM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.